Monday 18 March 2013

Mukadimah.

Assalamualaikum dan Salam 1 Malaysia!
Apa khabar kawan-kawan? Harap semuanya baik di samping keluarga yang tercinta :)

Blog ini merupakan blog yang kami cipta khas untuk berkongsi dengan anda semua tentang dadah. Tentu kalian tertanya-tanya apa itu dadah? Apa agaknya kesan dadah kepada manusia? Personaliti? Keluarga? Masyarakat? Ekonomi dan negara? Bagaimanakah cara-cara untuk membanteras masalah dadah di negara Malaysia? 


Masalah penagihan dadah hari ini begitu dinamik dan kompleks bukan sahaja dengan peningkatan bilangan dan pengulangannya akan tetapi juga dari segi jenis serta kesan dan akibatnya yang di luar jangkaan. Kaedah pencegahan dan kepulihan baru yang holistik dan komprehensif dengan kelainan tindakan dan pendekatan perlu dikaji dan dimantapkan agar dapat dipertingkatkan keberkesanannya.

Ingin kami petik kata-kata Pengasas Rumah Sinar Alam, Arfidah Ab. Latif yang berbunyi,

"Selagi ada dadah, takkan mungkin terhapus gelandangan yang tinggal 
di kaki-kaki lima dan tidur berbumbungkan langit."


Tetapi adakah masyarakat mengambil iktibar ataupun mengambil langkah berhati-hati daripada terjebak dengan penggunaan dadah yang berbahaya ini? Kebanyakkan masyarakat kita tidak mengambil tahu dan hanya memandang enteng akan kesan daripada penyalahgunaan dadah kepada kehidupan mereka kelak.


Seperti yang kita sedia maklum, masalah dadah di negara Malaysia sudah semakin parah dan membimbangkan. Perkara ini sering menjadi buah mulut masyarakat dari meja parlimen hinggalah ke warung-warung kopi. Hal ini kerana, masalah ini bukan sahaja membabitkan orang dewasa, malah turut melibatkan remaja yang baru meniti alam kedewasaan. 

Remaja merupakan pucuk hijau yang perlu kita jaga dan kita didik agar tidak terjerumus ke lembah kehinaan ini. Sesungguhnya remaja merupakan golongan yang bakal mewarisi tampuk pemerintahan negara pada masa akan datang. Mahukah kita melihat golongan ini terus menjadi sampah masyarakat dan menjatuhkan imej negara di mata dunia? 

Bukalah minda dan fikir-fikirkanlah.

Kata orang, mencegah lebih baik daripada mengubati. Oleh itu, langkah-langkah yang konkrit dan sistematik perlulah dilaksanakan supaya matlamat kerajaan untuk merealisasikan Sekolah Bebas Dadah 2012 dan Negara Bebas Dadah 2015 dapat dicapai. Setuju? Yeayyyyyyyyy!


Perkara ini akan kami kupaskan dengan lebih lanjut di masa akan datang. Semoga info-info yang akan kami berikan bermanfaat kepada anda. Teruskan mengikuti update daripada kami!