Friday 22 March 2013

Kesan penyalahgunaan dadah.

Assalamualaikum :)

Kawan-kawan, setiap perkara yang buruk pasti akan mendatangkan kesan yang tidak baik bukan? Sama juga seperti dadah. Dadah sememangnya mendatangkan pelbagai kesan buruk, bukan sahaja terhadap individu itu sendiri, bahkan terhadap keluarga, masyarakat dan negara juga. Lihatlah, sesungguhnya kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. 


Antara kesan yang dapat kita lihat kepada individu yang terlibat dengan dadah ialah dari segi tingkah laku diri penagih itu sendiri. Si penagih akan mula menjauhkan diri daripada masyarakat umum dan bergaul hanya dengan kumpulan penagih-penagih dadah, penjenayah serta penipu. Dari segi fizikal, penagih menjadi kurus, lemah tenaga, malas dan kelihatan berada dalam khayalan. Selain itu, penagih juga akan kehilangan tenaga seks, mudah pitam, pengsan, ganas, rasa ketagihan yang berlebihan, sakit perut dan berkemungkinan mati kerana mengambil dadah yang berlebihan. Daya tahan badan penagih akan menjadi lemah dan mudah dijangkiti pelbagai penyakit seperti kancing gigi, mandul dan sebagainya.


Di samping itu, maruah dan nama baik keluarga penagih pula akan tercemar di kalangan masyarakat. Masyarakat akan sentiasa memandang serong dan menghina mereka. Diri penagih pula boleh menjadi beban kepada keluarga mereka kerana terpaksa menghabiskan masa, tenaga dan wang yang banyak untuk merawatnya. Harapan ibu bapa ke atas anak yang terlibat dengan dadah telah musnah. Rumah tangga akan memjadi porak peranda. Seterusnya, perpisahan dan penceraian antara ahli keluarga juga mungkin berlaku.


Selain itu, kesan ke atas masyarakat pula ialah suasana kehidupan dalam masyarakat tidak lagi tenteram kerana adanya kejadian kecurian, rompakan, dan lain-lain yang dilakukan oleh penagih-penagih yang memerlukan wang untuk membeli dadah. Berdasarkan kajian, didapati 40% daripada banduan penjara adalah penagih dadah. Keadaan seperti ini sudah tentu akan mengganggu keamanan, ketenteraman, ketertiban peraturan dan undang-undang negara. Hal ini juga akan menyebabkan perpaduan, pembangunan dan kemajuan masyarakat terjejas akibat penglibatan anak muda harapan bangsa ini dalam najis dadah.


Tambahan pula, negara dan masyarakat terpaksa menanggung kos yang tinggi akibat daripada masalah dadah yang melanda negara ini. Kos yang tinggi ditanggung oleh negara atau masyarakat, dari segi kos nyata dan kos tidak nyata.Kos nyata termasuklah:

  • Kehilangan/kerugian pengurangan daya pengeluaran ekonomi.
  • Kos bagi menyediakan kemudahan rawatan dan pemulihan penagih dadah.
  • Kos bagi menyelenggara program-program pencegahan.
  • Kos kerana kerugian akibat daripada aktiviti-aktiviti jenayah yang berkaitan.
  • Kos bagi meneruskan kegiatan penguatkuasan seperti menambahkan bilangan anggota polis, kakitangan jabatan penjara, makamah, hospital dan sebagainya.

Kos tidak nyata yang menyebabkan kerugian lebih besar yang mana sukar ditentukan jumlahnya dengan tepat, termasuklah ketakutan dan kekecewaan yang dialami oleh masyarakat dan mangsa aktiviti-aktiviti jenayah yang dilakukan oleh penagih dan pengedar dadah. Golongan masyarakat yang terbesar terlibat dengan masalah dadah ialah kaum belia yang menjadi tulang belakang pembangunan negara dan bakal pemimpin. Perangkaan yang lalu membuktikan bahawa dari jumlah penagih yang dikesan, kira-kira 65% adalah terdiri daripada kaum belia yang berumur diantara 20-29 tahun. Ini jelas menunjukkan bahawa golongan yang menghadapi risiko yang tinggi ialah kaum belia yang menjadi harapan bangsa.


*****


Jika kita telusuri dengan lebih lanjut, dapatlah kita perhatikan bahawa dadah sememangnya mendatangkan pelbagai kesan negatif. Jadi, untuk apa kita meletakkan kehidupan kita dalam bahaya? Bukankah itu merupakan suatu perbuatan yang bodoh? Renung-renungkanlah.

Tiada guna jika kita menjadi hamba dadah kerana dadah bukan sahaja membazirkan banyak wang, malah turut mengancam nyawa kita. Jauhilah dadah. Dadah musuh negara!

1 comment:

Tinggalkan komen jika anda ada sebarang pertanyaan :)