Friday, 22 March 2013

Kesan penyalahgunaan dadah.

Assalamualaikum :)

Kawan-kawan, setiap perkara yang buruk pasti akan mendatangkan kesan yang tidak baik bukan? Sama juga seperti dadah. Dadah sememangnya mendatangkan pelbagai kesan buruk, bukan sahaja terhadap individu itu sendiri, bahkan terhadap keluarga, masyarakat dan negara juga. Lihatlah, sesungguhnya kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. 


Antara kesan yang dapat kita lihat kepada individu yang terlibat dengan dadah ialah dari segi tingkah laku diri penagih itu sendiri. Si penagih akan mula menjauhkan diri daripada masyarakat umum dan bergaul hanya dengan kumpulan penagih-penagih dadah, penjenayah serta penipu. Dari segi fizikal, penagih menjadi kurus, lemah tenaga, malas dan kelihatan berada dalam khayalan. Selain itu, penagih juga akan kehilangan tenaga seks, mudah pitam, pengsan, ganas, rasa ketagihan yang berlebihan, sakit perut dan berkemungkinan mati kerana mengambil dadah yang berlebihan. Daya tahan badan penagih akan menjadi lemah dan mudah dijangkiti pelbagai penyakit seperti kancing gigi, mandul dan sebagainya.


Di samping itu, maruah dan nama baik keluarga penagih pula akan tercemar di kalangan masyarakat. Masyarakat akan sentiasa memandang serong dan menghina mereka. Diri penagih pula boleh menjadi beban kepada keluarga mereka kerana terpaksa menghabiskan masa, tenaga dan wang yang banyak untuk merawatnya. Harapan ibu bapa ke atas anak yang terlibat dengan dadah telah musnah. Rumah tangga akan memjadi porak peranda. Seterusnya, perpisahan dan penceraian antara ahli keluarga juga mungkin berlaku.


Selain itu, kesan ke atas masyarakat pula ialah suasana kehidupan dalam masyarakat tidak lagi tenteram kerana adanya kejadian kecurian, rompakan, dan lain-lain yang dilakukan oleh penagih-penagih yang memerlukan wang untuk membeli dadah. Berdasarkan kajian, didapati 40% daripada banduan penjara adalah penagih dadah. Keadaan seperti ini sudah tentu akan mengganggu keamanan, ketenteraman, ketertiban peraturan dan undang-undang negara. Hal ini juga akan menyebabkan perpaduan, pembangunan dan kemajuan masyarakat terjejas akibat penglibatan anak muda harapan bangsa ini dalam najis dadah.


Tambahan pula, negara dan masyarakat terpaksa menanggung kos yang tinggi akibat daripada masalah dadah yang melanda negara ini. Kos yang tinggi ditanggung oleh negara atau masyarakat, dari segi kos nyata dan kos tidak nyata.Kos nyata termasuklah:

  • Kehilangan/kerugian pengurangan daya pengeluaran ekonomi.
  • Kos bagi menyediakan kemudahan rawatan dan pemulihan penagih dadah.
  • Kos bagi menyelenggara program-program pencegahan.
  • Kos kerana kerugian akibat daripada aktiviti-aktiviti jenayah yang berkaitan.
  • Kos bagi meneruskan kegiatan penguatkuasan seperti menambahkan bilangan anggota polis, kakitangan jabatan penjara, makamah, hospital dan sebagainya.

Kos tidak nyata yang menyebabkan kerugian lebih besar yang mana sukar ditentukan jumlahnya dengan tepat, termasuklah ketakutan dan kekecewaan yang dialami oleh masyarakat dan mangsa aktiviti-aktiviti jenayah yang dilakukan oleh penagih dan pengedar dadah. Golongan masyarakat yang terbesar terlibat dengan masalah dadah ialah kaum belia yang menjadi tulang belakang pembangunan negara dan bakal pemimpin. Perangkaan yang lalu membuktikan bahawa dari jumlah penagih yang dikesan, kira-kira 65% adalah terdiri daripada kaum belia yang berumur diantara 20-29 tahun. Ini jelas menunjukkan bahawa golongan yang menghadapi risiko yang tinggi ialah kaum belia yang menjadi harapan bangsa.


*****


Jika kita telusuri dengan lebih lanjut, dapatlah kita perhatikan bahawa dadah sememangnya mendatangkan pelbagai kesan negatif. Jadi, untuk apa kita meletakkan kehidupan kita dalam bahaya? Bukankah itu merupakan suatu perbuatan yang bodoh? Renung-renungkanlah.

Tiada guna jika kita menjadi hamba dadah kerana dadah bukan sahaja membazirkan banyak wang, malah turut mengancam nyawa kita. Jauhilah dadah. Dadah musuh negara!

Thursday, 21 March 2013

Punca penyalahgunaan dadah.



"Ahhh stresslah!" merupakan antara ungkapan yang sering dikeluhkan oleh para remaja masa kini. Stress merupakan salah satu punca yang menyebabkan remaja masa kini memilih dadah sebagai teman mereka. Kawan-kawan tahu kenapa ada dalam kalangan kita yang mengambil dadah? Antara faktor-faktornya ialah :

Putus cinta
Baru putus cinta monyet, terus nak ambil dadah. Nak lupakan kekasih lama katanya. Hey! Rilekslah kawan, kita kan muda lagi. Tak perlu terburu-buru. Kan masih banyak masa lagi. Nanti bila dah masuk universiti, mata kita boleh juling sebab rambang mata nak pilih pasangan hidup! Ramai lagi yang kacak-kacak dan cantik-cantik, macam kami. Hehe.

Pengaruh rakan sebaya
Kenapalah ada orang yang sanggup ikut kawan dia buat sesuatu perkara walaupun dia sendiri tahu yang perkara itu salah? Kalau kawan dia terjun gaung, dia pun nak ikut jugak. "You jump, I jump" katanya. Seseorang individu itu mungkin baik pada awalnya, tetapi kerana terlalu terpengaruh dengan rakan-rakan, mereka terus hanyut dalam lembah kehancuran ini. Hish. Disebabkan itulah kita seharusnya bijak memilih kawan!

Sikap ingin tahu dan mencuba
Pasti dikalangan kita mempunyai perasaan ingin mencuba dan ingin tahu. Inilah yang dinamakan semangat inkuiri. Walaupun kita sering berperasaan sebegitu, kita seharusnya belajar untuk mengawal perasaan kita kerana sekali terjebak, pasti kita akan menyesal seumur hidup. Tuntasnya, jangan sesekali kita terfikir untuk mencuba melibatkan diri dalam gejala dadah! Sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna lagi tau kawan-kawan.

Ingin mendapatkan ketenangan jiwa 
Disebabkan tekanan yang sering menganggu kehidupan kita, sebahagian daripada kita telah mengambil jalan pintas untuk melupakan masalah mereka dengan mengambil dadah. Tidakkah mereka terfikir tentang kesan jangka masa panjang yang akan menghantui mereka akibat pengambilan dadah ini? Tahukah mereka bahawa dadah bukannya dapat mengurangkan masalah, malah menambahkan lagi masalah kepada diri mereka?

Kurang didikan agama
Selain itu, didikan agama yang sempurna sememangnya perlu dititikberatkan dalam diri kita. Tanpa agama, iman kita pasti goyah. Pegangan agama yang rendah menyebabkan seseorang itu mudah terjebak kerana jika seseorang itu mempunyai pegangan yang teguh terhadap agama, mereka akan tahu akibatnya daripada penggunaaan dadah.

Wednesday, 20 March 2013

Jenis-jenis dadah.



Dadah mempunyai pelbagai jenis. Seperti yang sering kita dengar ialah dadah jenis Morfin, Heroin, Ecstasy dan Inhalan.

Tahukah anda bahawa rokok juga penyumbang kepada gejala dadah ini? Hal ini kerana, kandungan yang terdapat di dalam rokok mengandungi bilangan kecil dadah. Rentetan daripada itu, perokok tegar sememangnya berisiko tinggi akan terjebak dengan najis dadah.

Seterusnya, mari kita lihat beberapa jenis dadah :

Morfin - Sejenis alkaloid yang diperoleh selepas diproses daripada candu mentah. Rasanya pahit dan tidak berbau. Dalam perubatan, morfin digunakan sebagai ubat penahan sakit. Pengambilan secara berlebihan akan menyebabkan kematian mengejut.


Heroin - Bahan separa-tiruan hasil pengolahan morfin dan candu. Warna asalnya putih dan rasanya pahit. Mempunyai kesan lebih kuat berkali-ganda daripada morfin. Tiada penggunaan heroin dalam perubatan. Merupakan salah satu bahan yang terdapat dalam sebatang rokok.


Ecstasy - Sering dicuba dalam golongan remaja yang kerap terlibat dalam gejala sosial seperti di pusat hiburan. Dianggap tidak membawa kemudaratan oleh golongan remaja yang mengambilnya. Dijual dalam bentuk pil. Mengganggu perasaan dan sistem urat saraf dan menyebabkan hilang sensitiviti terhadap isyarat tubuh.

Inhalan - Merupakan sejenis bahan kimia yang mengandungi psikoaktif yang dihasilkan daripada pelarut organik dan bahan meruap. Menyebabkan kematian sel otat dan membawa kepada kecacatan akal. Contoh inhalan : aerosol, deodoran, minyak wangi, penyegar udara, cat.


Rokok -

Itu sahaja yang kami dapat kongsikan mengenai jenis-jenis dadah. Terima kasih :)


Tuesday, 19 March 2013

Apa itu dadah?


Sebagaimana pengetahuan umum, Dadah ialah bahan kimia yang memberi kesan kemudaratan ke atas pemikiran (psikoaktif), fizikal, emosi dan tingkah laku seseorang.



Pada asalnya, dadah digunakan dengan bertujuan untuk merawat penyakit, mengurangkan simptom atau mengubahsuai proses kimia di dalam badan. Jika bahan ini digunakan dengan secara berlebihan, ia boleh menyebabkan kemudaratan kepada diri kita sendiri.

Penyalahgunaan dadah merupakan penggunaan dadah secara berlebihan. Individu yang mengambil dadah secara berlebih-lebihan akan merasakan perasaan gembira yang keterlaluan dan menganggap diri mereka dapat melarikan diri dari kenyataan hidup atau masalah mereka. Walhal, sebenarnya mereka hanya menambahkan masalah kepada diri mereka sendiri. Apabila mereka sering mengambil dadah secara berlebih-lebihan, mereka akan mula ketagih akan dadah dan meletakkan diri mereka dalam keadaan bahaya.

Golongan yang selalu terjebak dalam aktiviti tidak sihat ini selalunya terdiri daripada golongan remaja. Bukan hanya golongan remaja, bahkan golongan artis juga sekarang banyak terjebak dengan aktiviti ini. Mereka ini selalunya bermula dari peringkat remaja dimana mereka baru berjinak-jinak dalam kancah dadah ini, dan aktiviti ini akan berterusan jika tiada usaha untuk berhenti. Bukankah peribahasa ada mengatakan, "Alah bisa, tegal biasa." Maka masalah sosial ini perlulah dikenalpasti akan punca berlaku masalah ini dan cara untuk menghindarinya.

Monday, 18 March 2013

Mukadimah.

Assalamualaikum dan Salam 1 Malaysia!
Apa khabar kawan-kawan? Harap semuanya baik di samping keluarga yang tercinta :)

Blog ini merupakan blog yang kami cipta khas untuk berkongsi dengan anda semua tentang dadah. Tentu kalian tertanya-tanya apa itu dadah? Apa agaknya kesan dadah kepada manusia? Personaliti? Keluarga? Masyarakat? Ekonomi dan negara? Bagaimanakah cara-cara untuk membanteras masalah dadah di negara Malaysia? 


Masalah penagihan dadah hari ini begitu dinamik dan kompleks bukan sahaja dengan peningkatan bilangan dan pengulangannya akan tetapi juga dari segi jenis serta kesan dan akibatnya yang di luar jangkaan. Kaedah pencegahan dan kepulihan baru yang holistik dan komprehensif dengan kelainan tindakan dan pendekatan perlu dikaji dan dimantapkan agar dapat dipertingkatkan keberkesanannya.

Ingin kami petik kata-kata Pengasas Rumah Sinar Alam, Arfidah Ab. Latif yang berbunyi,

"Selagi ada dadah, takkan mungkin terhapus gelandangan yang tinggal 
di kaki-kaki lima dan tidur berbumbungkan langit."


Tetapi adakah masyarakat mengambil iktibar ataupun mengambil langkah berhati-hati daripada terjebak dengan penggunaan dadah yang berbahaya ini? Kebanyakkan masyarakat kita tidak mengambil tahu dan hanya memandang enteng akan kesan daripada penyalahgunaan dadah kepada kehidupan mereka kelak.


Seperti yang kita sedia maklum, masalah dadah di negara Malaysia sudah semakin parah dan membimbangkan. Perkara ini sering menjadi buah mulut masyarakat dari meja parlimen hinggalah ke warung-warung kopi. Hal ini kerana, masalah ini bukan sahaja membabitkan orang dewasa, malah turut melibatkan remaja yang baru meniti alam kedewasaan. 

Remaja merupakan pucuk hijau yang perlu kita jaga dan kita didik agar tidak terjerumus ke lembah kehinaan ini. Sesungguhnya remaja merupakan golongan yang bakal mewarisi tampuk pemerintahan negara pada masa akan datang. Mahukah kita melihat golongan ini terus menjadi sampah masyarakat dan menjatuhkan imej negara di mata dunia? 

Bukalah minda dan fikir-fikirkanlah.

Kata orang, mencegah lebih baik daripada mengubati. Oleh itu, langkah-langkah yang konkrit dan sistematik perlulah dilaksanakan supaya matlamat kerajaan untuk merealisasikan Sekolah Bebas Dadah 2012 dan Negara Bebas Dadah 2015 dapat dicapai. Setuju? Yeayyyyyyyyy!


Perkara ini akan kami kupaskan dengan lebih lanjut di masa akan datang. Semoga info-info yang akan kami berikan bermanfaat kepada anda. Teruskan mengikuti update daripada kami!